PENDAHULUAN
Kaunselor
berperanan dan bertanggungjawab dalam usaha mengembangkan segala potensi yang
ada pada seseorang pelajar itu semasa di sekolah. Di sekolah, bimbingan dan
kaunseling merupakan satu tanggungjawab yang besar yang perlu dimainkan oleh
seorang kaunselor. Setiap perancangan pendidikan seharusnya beroperasi dengan
andaian bahawa setiap penuntut mestilah berusaha untuk mencapai perkembangan
peribadi yang maksimum. Perkhidmatan pendidikan mestilah mengiktiraf
matlamat-matlamat peribadi setiap pelajar dan menolong mereka membuat rumusan
dengan jelas dan realistik. Dalam usaha memenuhi hak-hak pelajar itu, mereka
yang terlibat mungkin akan menghadapi beberapa masalah dan halangan.
Perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling yang merupakan aktiviti yang tersusun akan menolong
pelajar meneliti, menilai dan memilih matlamat peribadi yang realistik serta
memastikan mencapai matlamat yang mereka perlukan. Sebagai seorang kaunselor di
sekolah, beliau berperanan menyelaraskan semua aktiviti bimbingan dan
kaunseling dengan disokong dan dibantu oleh aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
Mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia yang dicatatkan dalam buku Panduan
Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah ada menggariskan
beberapa prinsip antaranya, bimbingan dan kaunseling adalah proses pendidikan
iaitu proses yang dirancang dan berterusan. Para pelajar dididik melalui
pengalaman, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan masyarakat majmuk
di Malaysia. Perkhidmatan yang diberikan kepada semua pelajar bagi mendapatkan
peluang pertolongan khidmat bimbingan ini tanpa mengira bangsa dan agama.
JENIS-JENIS
PERKHIDMATAN KAUNSELING DI SEKOLAH
Di dalam buku Panduan Perlaksanaan
Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia (1984), telah menyatakan 10 perkhidmatan di dalam kaunseling
di sekolah.
1. PERKHIDMATAN
INVENTORI DAN REKOD PELAJAR
Di
dalam perkhidmatan ini, kaunselor perlu mengendalikan fail bimbingan serta
bertanggungjawab mengumpul dan merekodkan butiran yang berkaitan dengan
penilaian dan pentafsiran minat pelajar seperti minat kerjaya pelajar dan hala
tuju mereka selepas tamat persekolahan. Selain itu, kaunselor juga perlu
mengawas perangkaan dan corak kehadiran pelajar yang dirujuk untuk tujuan
kaunseling serta menyelaras, menjaga, dan mengemaskini rekod pelajar. Hal ini
sangat penting bagi memastikan rekod pelajar sentiasa yang terkini. Rekod
pelajar juga penting untuk memberi maklumat objektif mengenai pencapaian
kemajuan dan prestasi pembelajaran pelajar bermasalah untuk tujuan pemulihan
agar masalah pelajar dapat ditangani dengan segera. Kaunselor juga perlu
menjalankan dan memberi pentafsiran atau kaji selidik yang berkaitan dan
berguna untuk membantu perkembangan diri pelajar. Contohnya Inventori Minat
Kerjaya, Inventori Personaliti Sidek dan Ujian Minda Sihat.
2. PERKHIDMATAN MEMBERI MAKLUMAT
Melalui
perkhidmatan ini kaunselor perlu mengumpul, menyedia dan menyebar maklumat
kerjaya, vokasional, latihan, dan latihan kepada pelajar. (Melalui
risalah-risalah, buku kecil, poster, hari kerjaya, pameran kerjaya dan buletin
sekolah). Selain itu, kaunselor perlu menambah dan mengemaskini fail-fail
maklumat kerjaya dan peluang latihan, pelajaran, sosial, dan peribadi serta
memberikan maklumat dan penerangan tentang pentingnya mengisi borang permohonan
dengan tepat seperti borang permohonan UPU. Tambahan lagi, kaunselor boleh
memberikan maklumat dengan mengelola lawatan terancang kerjaya atau pelajaran
ke kilang perusahaan atau tempat pekerjaan yang lain serta memberi maklumat
mengenai kerjaya dan lain-lain pertolongan yang diperlukan oleh guru-guru dan
anggota masyarakat. Kaunselor perlu menyebarkan maklumat mengenai pendidikan
pencegahan dadah, AIDS, bahaya merokok dan inhalan. Hal ini sangat penting bagi
memastikan pelajar bebas daripada penyalahgunaan bahan.
3. PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING KELOMPOK
Bimbingan ialah
bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada murid berkenaan.
Crow dan Crow (1983), Kaunseling pula ialah satu proses interaksi yang
membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Perhubungan professional
antara kaunselor terlatih dan klien serta proses pertemuan secara bersemuka di
antara seorang kaunselor dengan kliennya yang membawa kepada perubahan klien
pada akhirnya.
Antara
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kelompok:
1.
Mengelola dan melaksanakan aktiviti bimbingan dan kaunseling kelompok
dan tunjuk ajar (instructional) yang boleh menggalakkan perkembangan konsep
kendiri, vokasional, kognitif-afektif, psikososial, fizikal-seksual dan moral
agama pelajar.
2.
Membincangkan mengenai sesuatu topik yang sesuai dengan sesuatu kelompok
yang tertentu. Contohnya; masalah disiplin, masalah peribadi, masalah sosial
dan lain-lain topik seperti yang dicadangkan oleh pelajar-pelajar dari semasa
ke semasa.
3.
Membantu pelajar memilih mata pelajaran elektif untuk peperiksaan
termasuklah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional
(SPMV), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
4.
Menubuh dan melatih pasukan Pembimbing Rakan Sebaya dan meyelia aktiviti
mereka.
Matlamat
Bimbingan dan Kaunseling
- Memupuk
kemahiran menyelesaikan masalah kendiri.
- Membantu
klien menguasai pelbagai kemahiran asas untuk adaptasi dan penyesuaian
diri.
- Menggunakan potensi dan pelbagai sumber
yang ada untuk mencapai prestasi lebih baik
4. PERKHIDMATAN KAUNSELING
Perkhidmatan
kaunseling dapat dibahagikan kepada dua iaitu kaunseling individu/kelompok dan
kaunseling keluarga.
A. KAUNSELING
INDIVIDU/ KELOMPOK
Kaunseling
individu adalah proses perbincangan antara kaunselor dan klien
dimana kaunselor berusaha menolong kliennyamemahami diri sendiri, menerima
masalah yang dihadapi, sehingga dia membuat pertimbangan dan mengambil
keputusan yang membantunya mengatasi masalah hidupnya. Selain itu, proses interaksi
yang menyediakan hubungan bermakna antara diri dengan persekitaran
dan menghasilkan pencapaian matlamat serta mewujudkan nilai-nilai yang sesuai
untuk tingkahlaku pada masa hadapan.
Kaunseling
kelompok pula adalah orientasi permasalahan dan proses pemulihan untuk
merasionalisasikan setiap orang murid mengikut kehendak kumpulannya.
Sesi kaunseling
individu atau kelompok ini dijalankan
mengenai pelbagai aspek antaranya ialah pencapaian akademik yang tidak memuaskan, rujukan yang dilakukan oleh guru-guru dan ibu bapa atau
orang lain, kerjaya, pelajaran dan peribadi, tidak terlibat dengan kegiatan
ko-kurikulum, masalah disiplin. Contohnya ponteng, budaya peleseran, merokok, bertumbuk
dan menggunakan dadah dan bahan inhalen.
B.
KAUNSELING KELUARGA
Kaunseling
keluarga dijalankan sekiranya guru bimbingan dan kaunseling mengendalikannya
bersam dengan keluarga kanak-kanak tersebut. Goldenberg dan Goldenberg (2002),
mengatakan bahawa kaunseling kelaurga adalah satu teknik psikoteraputik untuk
meneroka dan cuba mengubah masalah emosi masa kini yang saling berkait dalam
sesebuah keluarga dengan membantu ahli-ahli dalam sistem keluarga untuk
mengubah corak interaksi mereka yang tidak berfungsi. Kaunseling ini boleh
ditakrifkan sebagai satu perjumpaan bersemuka antara seorang kaunselor keluarga
dengan ahli-ahli keluarga dalam satu-satu sesi tertentu. Di luar negara,
kaunseling keluarga merupakan perkhidmatan kaunseling keluarga yang dapat
meningkatkan daya saing sesebuah keluarga, membantu mengurangkan salah laku
pelajar sekolah dan membantu proses pemulihan pelajar (Milliren &
Barrett-Kruse, 2002). Jadinya, kaunseling keluarga ini adalah satu proses bagi
kita sebagai guru untuk mengenali murid kita.
5. PERKHIDMATAN PENEMPATAN
Perkhidmatan penempatan merupakan perkhidmatan
kaunseling dalam membantu pelajar memilih aktiviti kokurikulum berdasarkan
kebolehan, minat kerjaya pilihan dan kemampuan. Perkhidmatan ini biasanya untuk
membantu kaunselor dalam penempatan pekerjaan (khususnya pelajar sekolah
menengah) sebagai contoh menjadi penyelaras penempatan pelajar mengikuti
program pengalaman bekerja (jika program seumpama ini diadakan), membantu
Bahagian Pendidikan Vokasional dan Teknik dalam mengadakan sistem memperoleh
data atau butiran yang perlu bagi laporan susulan mengenaipelajar lepasan
sekolah vokasional dan teknik (khusus untuk sekolah menengah vokasional dan
teknik. Selain itu, perkhidmatan ini juga membantu menempatkan pelajar sekolah
menengah untuk memasuki institusi-institusi pekerjaan.
Bagi perkhidmatan penempatan khusus untuk kaunseling
kanak-kanak pula, kaunselor membantu pelajar dalam memilih aktiviti kokurikulum
berdasarkan kebolehan dan minat kerjaya yang ada pada diri murid. Kaunselor
akan bantu murid dalam memilih aktiviti kokurikulum, sukan dan kelab yang murid
minati dan melihatnya sesuai atau tidak dengan sifat dan keinginan yang ada
pada diri murid. Contohnya, jika murid
tersebut ingin melibatkan diri dalam aktiviti perkhemahan dan sukakan cabaran,
kaunselor boleh cadangkan untuk murid tersebut memasuki badan beruniform
seperti pengakap.
6. PERKHIDMATAN MENCEGAH PENGGUNAAN DADAH
Kaunselor mengadakan bimbingan dan kaunseling sama ada
individu atau kelompok dalam menanam dan memupuk sikap dan memberi nilai
membenci dadah dan inhalen. Perkhidmatan ini juga memberi bantuan atau
pertolongan kepada pelajar untuk mendapatkan bantuan pemulihan dan rawatan.
Contohnya, kaunselor akan membantu pelajar yang mengalami masalah berkaitan
dengan penyalahgunaan dadah dengan cara dan kaedah yang sesuai dan perlu
merujuk kepada agensi lain terutamanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Selain itu, kaunselor mengadakan program-program
kesedaran tentang bahayanya penyalahgunaan dadah kepada murid-murid. Sebagai
contoh, kaunselor mengadakan ceramah dengan menjemput pihak AADK atau pihak
polis untuk memberi pengetahuan tentang dadah dan membuat latihan dalam
kumpulan (LDK) bedasarkan ceramah tersebut. Kaunselor juga boleh meminta pihak
AADK membuka pameran seperti replika dadah dan sediakan poster-poster berkaitan
keburukan mengambil dadah. Dengan itu, murid akan terkesan dengan apa yang
mereka dengan dan perhatikan. Di samping itu juga, perkhidmatan ini juga
membuat penilaian dan memberi maklum balas atau laporan kepada kementerian atau
Jabatan Pendidikan Negeri tentang program pencegahan dadah diperingkat sekolah.
7. PERKHIDMATAN KONSULTASI DAN RUJUKAN
Perkhidmatan lebih kepada klien datang untuk
mendapatkan info daripada kaunselor. Kaunselor juga memainkan peranan sebagai
tempat rujukan tentang maklumat-maklumat yang berguna kepada pelajar tetapi
tidak didedahkan kepada mereka.
Perkhidmatan konsultasi dan rujukan ini bertujuan
membantu bekas pelajar sekolah tentang pelbagai hal termasuklah soal peribadi,
kerjaya, pelajaran dan sebagainya apabila diminta oleh klien. Kaunselor boleh
memberi bimbingan kepada bekas pelajar sekolah tersebut terutamanya tentang
hala tuju mereka selepas keluar daripada sekolah tersebut. Dengan nasihat yang
diberikan, pelajar tersebut dapat merancang tentang jalan yang paling sesuai
untuk mereka ambil untuk masa depan yang lebih cerah.
Selain
itu, perkhidmatan ini juga dapat memberi pemahaman yang lebih mendalam mengenai
program bimbingan di sekolah kepada pihak pentadbir dan staf sekolah.
Kebiasaannya, program yang dijalankan oleh pihak bimbingan dan kaunseling
sering dipandang sebelah mata oleh pihak atasan di sekolah. Hal ini berlaku
kerana mereka tidak dapat lihat kelebihan dan kepentingan yang pelajar boleh
terima daripada menghadiri program-program yang dijalankan. Jadi, dengan
perkhidmatan ini, kaunselor bertanggungjawab untuk menegaskan objektif
program-program yang dijalankan itu sangan bermanfaat untuk pengetahuan pelajar
yang mungkin berguna di masa hadapan.
Membantu
ibu bapa dan penjaga pelajar dalam hal yang berkaitan dengan kebajikan pelajar
juga salah satu tujuan perkhidmatan konsultasi dan rujukan. Kaunselor dapat
memastikan ibu bapa dan penjaga pelajar tersebut sentiasa mengikuti
perkembangan pelajar di bawah jagaan mereka. Kaunselor juga boleh berunding dan
berbincang dengan staf sekolah tentang cara-cara untuk meningkatkan prestasi
perkhidmatan bimbingan di sekolah. Kaunselor dan pihak sekolah boleh
meningkatkan kesedaran tentang kepentingan unit bimbingan dan kaunseling di
sekolah. Dengan cara ini, pelajar akan lebih terbuka untuk mempercayai
kaunselor sekolah mereka untuk merujuk masalah yang sedang mereka hadapi.
Sekiranya kes yang
dirujuk kepada kaunselor itu lebih serius dan bukan dibawah skop kerjanya,
kaunselor tersebut boleh mengadakan prosedur-prosedur yang tertentu dalam
merujuk kes-kes tersebut kepada agensi-agensi atau pakar yang terlibat.
Contohnya, kes penaguhan dadah dapat dirujuk kepada AADK untuk tindakan yang
lebih lanjut.
8. PERKHIDMATAN KONFERENS DENGAN IBU BAPA
Perkhidmatan konferens dengan ibu bapa meliputi
mengadakan hubungan dengan penjaga pelajar untuk bersama mengawal kemajuan
pelajar terutamanya dalam pelajaran. Kaunselor dan penjaga pelajar boleh
bekerjasama untuk sentiasa melihat peningkatan atau penurunan kemajuan pelajar.
Hal ini berlaku kerana kaunselor hanya dapat mengawal kemajuan pelajar di rumah
manakala penjaga pelajar akan mengambil tanggungjawab tersebut apabila pelajar
tersebut berada di rumah.
Kaunselor
juga berhak untuk menghubungi penjaga pelajar yang didapati kemajuan pelajar
tersebut menurun atau merosot. Dengan cara ini, kaunselor dapat mengesan punca
mengapa kemajuan pelajar tersebut tidak memuaskan. Jadi, kaunselor yang
menangani kes itu dapat merancang tindakan yang perlu diambil untuk meningkatkan
semula semangat pelajar tersebut atau cara untuk membantunya menyelesaikan
maslah yang dihadapinya untuk meningkatkan kembali potensinya.
Jika
didapati pelajar mengalami masalah yang berpuna daripada keluarganya sendiri,
kaunselor boleh mengadakan kaunseling keluarga. Kaunseling keluarga ini dapat
membantu mengesan punca masalah dan mencari penyelasaian yang bersesuaian
dengan masalah tersebut. Hal ini kerana, masalah yang berpunca dari keluarga
juga dapat menjejaskan potensi akademik pelajar.
9. PERKHIDMATAN
PENYELARASAN RESOS
Perkhidmatan
ini ialah bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti berhubung dengan kebajikan
pelajar di antara sekolah dengan agensi lain. Ianya memudahkan bagi pihak
sekolah untuk berkomunikasi dengan agensi-agensi di luar sana serta menjimatkan
masa dan tenaga. Selain itu, perkhidmatan ini juga menjadi punca rujukan dalam
aktiviti-aktiviti kokurikulum. Jika terdapat sebarang permasalah berkenaan
dengan kokurikulum, pihak sekolah boleh merujuk terus kepada penyelasan resos
ini. Ianya juga dapat mengatasi masalah-masalah yang terdapat dalam aktiviti
kokurikulum ini. Di samping itu, perkhidmatan ini juga merupakan penyelaras
bagi penglibatan majikan, agensi kebajikan dan orang-orang kenamaan tempatan
dalam program bimbingan di sekolah. Tugas perkhidmatan resos ini juga ialah
merancang dan menjadi penyelaras dalam usaha untuk memperkenalkan lagi
aktiviti-aktiviti bimbingan kepada agensi-agensi dan komuniti setempat.
10. PERKHIDMATAN
PENILAIAN
Perkhidmatan
penilaian ialah dengan membuat penilaian aktiviti bimbingan di sekolah yang
bertujuan untuk membaikinya pada masa akan datang. Contohnya seperti pembimbing rakan sebaya, kem jaya
diri, skim lencana anti dadah dan motivasi pelajar. Di setiap akhir
program-program ini hendaklah disertakan borang maklum balas peserta terhadap
programyang telah dilaksanakan oleh kaunselor sekolah. Ianya akan membuka mata
pihak tentang kekuatan dan kelemahan program tersebut dan akan membuat
penambahbaikan pada masa akan datang. Peranan yang seterusnya ialah menilai
modul atau bimbingan sebelum dilaksanakan di peringkat sekolah. Setiap modul
yang dijalankan, hendaklah menguji keberkesanannya kepada para pelajar di
kelompok kecil dahulu, ianya supaya kaunselor akan melihat kepada tindak balas
pelajar. Jika ianya menujukkan tindak balas yang positif, maka modul atau
bimbingan tersebut boleh dilaksanakan pada kelompok yang besar. Jika tidak,
modul tersebut perlu diperbaiki dan dibaik pulih lagi mengikut kesesuaian modul
atau bimbingan oleh pelajar sekolah yang berkenaan.
KESIMPULAN
Sebagai
natijahnya, bagi menjadi seorang kaunselor yang cemerlang bukanlah perkara yang
mudah kerana ianya memerlukan kemahiran-kemahiran yang tertentu. Kaunselor
hendaklah memahami segala kemahiran yang dipelajari serta mengetahui cara untuk
mengaplikasikan kepada klien mengikut masa, tempat dan situasi persekitaran
yang bersesuaian.
Jika kemahiran
tersebut tidak diaplikasikan, maka ianya akan mempengaruhi seluruh proses
kaunseling. Begitu juga dengan perkhidmatan kaunseling di sekolah. Jika
kaunselor tidak menguasai perkhidmatan ini, maka ianya akan menyukarkan
kaunsekor itu sendiri untuk menyelesaikan isu yang berlaku oleh para pelajar di
sekolah yang berkenaan.
Akhir kata,
perkhidmatan kaunseling di sekolah perlu dijalankan oleh para kaunselor sekolah
di seluruh Malaysia ini. Tidak kira kaunselor di peringkat sekolah rendah
mahupun di peringkat sekolah menengah. Ianya banyak membantu para kaunselor
untuk memudahkan kerja harian mereka serta membantu mereka mengenal pasti
masalah yang dihadapi oleh para pelajar seterusnya dapat mengendalikan isu
tersebut dengan baik dengan hanya menggunakan perkhidmatan ini.
Credit to:
MOHD IKHWAN BIN ROSLI
NADHIRAH BINTI KURSUS@OTHMAN
NADHIRAH BINTI KURSUS@OTHMAN
NURULAMIRA BINTI KAMARUDIN
YASMIN FARHANAH BINTI ABDUL HALIM
No comments:
Post a Comment