Tuesday, 2 April 2024

Pembimbing Rakan Sebaya





PENGENALAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Pembimbing rakan sebaya ialah seorang murid yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asa komunikasi dan kaunseling. Ia berfungsi sebagai seorang kawan yang berkesan kepada rakan sebaya terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan. PRS tidak berfungsi untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah rakan-rakan tetapi menjadi seorang pendengar yang peka kepada perasaan orang lain, berminat dan mengambil berat serta rela memberi khidmat dalam sekolah.

SEJARAH PERKEMBANGAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA
1984

Bahagian Sekolah (Unit Bimbingan dan Kaunseling) telah merangka dan mengeluarkan buku Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Satu daripada kandungan buku itu ialah perkhidmatan dan tugas "Kaunselor Sebaya". Dengan ini, konsep "Kaunselor Sebaya" (sekarang dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya) telah sedia ada tetapi tidak diperkembangkan dalam kalangan murid secara sistematik dan menyeluruh.

1986
Program Pembimbing Rakan Sebaya mula diperkenalkan di sekolah-sekolah secara tidak formal melalui projek perintis "Kaunselor Sebaya" yang dikendalikan oleh Pn. Zuraidah Bt. Abdul Rahman, Ketua Jabatan di Institut Aminuddin Baki.

1987
Satu Seminar-Bengkel PRS diadakan dan dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid dan Penyelia Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pelajaran Negeri, Guru-guru Bimbingan dan Kaunseling yang telah dikenalpasti oleh Kementerian serta Pensyarah Maktab Perguruan. Dalam seminar ini, nama Pembimbing Rakan Sebaya diterima secara rasmi. Hasil dari seminar/bengkel satu draf modul latihan yang mengandungi elemen-elemen, konsep, falsafah,rasional dan objektif program Pembimbing Rakan Sebaya telah dikeluarkan untuk dicuba di peringkat sekolah.

November 1987
Satu mesyuarat menggubal kurikulum Kursus Pengurusan dan Latihan Program Pembimbing Rakan Sebaya diadakan di IPPN(IAB) dengan disertai oleh Pensyarah IAB, Pensyarah UKM, UPM dan USM, Pengetua sekolah, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal dan Penyelia Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pelajaran Negeri, Pegawai-Pegawai Bahagian Sekolah dan Pensyarah Maktab Pergururan.

Ogos 1988
Bengkel mengemaskini draf modul latihan di IAB supaya modul dicetak dan dihantar ke semua sekolah menengah di seluruh negara untuk dijadikan panduan.

September 1988
Mesyuarat menyelaras program desentrialisasi latihan PRS di IAB dan telah dipersetujui bahawa kursus-kursus desentrialisasi (Teragih) di peringkat negeri mengikut panduan kandungan kursus yang sama iaitu:

a) Pengenalan Konsep, Falsafah dan Matlamat Program PRS
b) Teknik tafsiran keperluan
c) Teknik-teknik latihan
d) Teknik penilaian program
e) Kemahiran yang diperlukan oleh PRS seperti kesedaran kendiri 
f) PRS dari perspektif Islam

1989
IAB dengan kerjasama Bahagian Sekolah telah mengadakan satu bengkel penelitian semula modul latihan PRS bertajuk Bengkel Membina Instrumen Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Program Pembimbing Rakan Sebaya untuk dijalankan pada penghujung tahun 1989 di sekolah-sekolah terlibat dan hasil daripada kajian telah dibentang dalam Seminar Status dan Halatuju Program Pembimbing Rakan Sebaya pada 16-19 Disember 1990.

Jun 1991
kursus Intensif Kejurulatihan dan Pengurusan Program Pembimbing Rakan Sebaya telah diadakan di bawah pembiayaan pinjaman Bank Dunia. Seramai 42 orang guru bimbingan dan kaunseling yang hadir.

Akhir tahun 1992
Kementerian Pelajaran Malaysia, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Bahagian Sekolah dengan kerjasama IAB berjaya menerbitkan buku modul bertajuk "Pembimbing Rakan Sebaya: Modul Latihan Asas".

2007
PRS telah menerima nafas baru dengan pengenalan nyanyian lagu dan lirik Pembimbing Rakan Sebaya hasilan En. Badruddin Shukor diikuti dengan pelancaran pemakaian 'vest' PRS oleh Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu.

November 2008
Dato' Sri Hishamuddin Tun Hussein telah memperkenalkan e-PRS dalam Majlis Persidangan Guru Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan di MITC, Melaka.

Ogos 2011
draf Modul PRS KPM elah dibuat semakan bacaan (Proof Reading) di Kuala Lumpur oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia.


RASIONAL 

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah lama bertapak dalam sistem pendidikan kita. Walaupun perkhidmatan ini masih mempunyai ruang yang luas untuk diperbaiki, khidmat "murid membantu murid" merupakan satu khidmat sokongan yang penting untuk mengisi ruang tersebut. Oleh sebab murid adalah lebih ditemui dan dijangka lebih memahami curahan perasaan rakan, maka mereka lebih mudah dirapati. Golongan murid yang terlatih dalam kemahiran-kemahiran asas menolong sangat penting untuk meningkatkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

          Untuk melengkapkan pengetahuan pengetahuan dari sumbangan murid membantu rakan, maka mereka perlu diberi latihan supaya khidmat mereka lebih berkesan. Maka satu modul latihan telah dibentuk oleh beberapa orang Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk dijadikan panduan dalam melatih pelajar sebagai Pembimbing Rakan Sebaya.

          Walau bagaimanapun, pihak pentadbir sekolah, guru, staf lain dan masyarakat haruslah sedar bahawa PRS ini adalah remaja atau murid biasa yang masih mempunyai kekurangan diri dan perlukan bimbingan berterusan daripada orang dewasa. Mereka juga tidak akan berupaya menjadi murid serba sempurna tanpa membuat kesilapan. Mereka juga tidak akan berupaya memenuhi tuntutan pentadbir dan guru untuk mengatasi masalah disiplin sekolah. Apa yang boleh mereka lakukan melalui bimbingan dan galakan daipada pentadbir, guru dan orang dewasa lain ialah dengan menggunakan pengaruh positif serta contoh teladan untuk menarik perhatian rakan-rakan ke arah perlakuan yang diterima.

 

FALSAFAH

" BANTU DIRI UNTUK BANTU ORANG LAIN "
PRS harus dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, perlakuan, perhubungan, kemahiran, kreativiti dan keimanan supaya berupaya membantu orang lain.

  

IKRAR PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Saya/kami dengan ini berikrar dan menerima dan mematuhi serta mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa berkhidmat sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sesi _____ .

·       Menerima jawatan ini dan sanggup memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan tanpa mengira masa dan rakan.

·       Berpegang teguh kepada etika Pembimbing Rakan Sebaya.

·       Berusaha menjadi pelajar contoh.

·       Berazam meningkatkan mutu akademik dan disiplin diri.

·       Berkhidmat dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.

·       Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan PRS.

 

MISI

Membentuk dan melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan cemerlang berdasarkan falsafah dan etika Pembimbing Rakan Sebaya.

 

VISI

Sistem pengurusan perkhidmatan Pembimbing Rakan Sebaya yang cemerlang dan berkualiti.

 

 

MATLAMAT PEMBIMBING RAKAN SEBAYA 

Melahirkan PRS yang berkemampuan membantu rakan sebaya secara positif, berkesan, berkemahiran berketrampilan antaranya:

1) membina budaya kasih mesra dan saling membantu dalam kalangan murid.

2) membina murid yang yakin diri dan menghayati nilai-nilai murni berasaskan kepada kepercayaan kepada Tuhan.

3) memupuk potensi/bakat kepimpinan dan menjadi individu yang peka, bertimbang rasa, rela, taat , menolong dan berupaya hidup selesa dalam masyarakat majmuk.

4) melalui pengaruh positif dan persepaduan dalam aktiviti lain , PRS dapat memainkan peranan membantu mengurangkan masalah salah laku di kalangan pelajar.

 

OBJEKTIF PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

1.     Membina pasukan PRS yang terlatih untuk membantu rakan dari segi akademik, perlakuan, emosi dan peribadi.

2.     Memberi khidmat sokongan dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling untuk mengisi pertambahan tuntutan dalam perkhidmatan PRS.

3.     Melatih murid dalam kemahiran asas yang membolehkan mereka berinteraksi secara berkesan dengan rakan dan individu lain.

 

 

ETIKA PEMBIMBING RAKAN SEBAYA 

Sebagai PRS mereka perlu sentiasa ingat dan patuh kepada etika iaitu:

a. Amanah dan menyimpan rahsia.
b. Menerima dan menghormati rakan dan orang lain.
c. Memahami batasan dan keupayaan diri.
d. Sentiasa berusaha meningkatkan diri dari pelbagai aspek.
e. Melapor kepada guru bimbingan dan kaunseling tentang kes yang boleh merosakkan diri  dan/orang lain.
f. Merujuk kes rumit kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling.
g. Mematuhi peratran sekolah, norma masyarakat dan agama

 

 

SENARAI TUGAS PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Sebagai seorang PRS, peranan yang perlu mereka lakukan adalah:

1.     Menjadi rakan yang peka kepada perasaan orang lain dan keadaan sekeliling.

2.     Membantu menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

3.     Sebagai salah satu sumber rakan untuk mendapat bantuan.

4.     Sebagai penghubung kepada khidmat bimbingan dan kaunseling seperti membuat rujukan jika perlu.

5.     Sebagai peninjau rasa kepada Kaunselor/Guru Bimbingan dan Kaunseling menjalankan strategi intervensi jika perlu.

6.     Sebagai Role Model kepada pelajar lain.

7.     Menjadi fasilitator yang bersikap terbuka, yakin dan percaya diri, berasa selesa dan berempati.

8.     Menernima rakan secara terbuka dan tanpa syarat.

9.     Mendengar, menjelaskan dan membantu rakan melihat beberapa alternatif sebelum membuat keputusan.

10.  Memberi galakan dan sokongan untuk rakan mengambil langkah positif.

11.  Mematuhi etika kerahsiaan.

12.  Menyedari bahawa bukan semua masalah boleh diatasi.

13.  Berbincang dan membantu rakan yang menghadapi masalah biasa/normal.

14.  Memimpin rakan melihat masalah dengan objektif dan menggalakkan mencari penyelesaian sendiri supaya ia belajar melalui pengalamannya.

15.  Menjalankan program membantu sambil mempengaruhi rakan lain supaya melibatkan diri.

16.  Mengutamakan kesejahteraan diri dan memahami batasan diri untuk membantu.


PERANAN SEBAGAI GURU/JURULATIH PRS

1.     Memilih ahli-ahli PRS berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

2.     Melaksana dan melatih ahli-ahli PRS berpandukan modul yang telah disediakan.

3.     Merancang, menyelia dan melaksanakan program PRS.

4.     Menjadi fasilitator dalam aktiviti-aktiviti PRS di sekolah.

5.     Memberi ujian kepada ahli-ahli PRSmengikut tahap dan kelayakan yang digariskan.

6.     Mengawal selia dan menasihati PRS dalam meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah.

7.     Membimbing PRS dalam memainkan peranan mereka di sekolah.

8.     Menjadi pakar rujuk (sesi bimbingan atau perundingan) bagi setiap isu berkaitan murid yang dikemukakan oleh PRS.

9.     Memastikan setiap PRS membuat catatan dan laporan dalam buku log PRS.

 

 

 

 

 

Pembimbing Rakan Sebaya

PENGENALAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA Pembimbing rakan sebaya ialah seorang murid yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asa komunikasi ...